Anugerah Akademik Universiti (AAU)
November 3, 2023
Anugerah Akademik Universiti (AAU) merupakan anugerah tertinggi di peringkat Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang dikhaskan bagi mengiktiraf dan menyanjung ahli akademik universiti yang telah mengharumkan nama UTeM sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa, serta untuk memotivasikan mereka untuk terus meningkatkan sumbangan mereka dalam membitarakan universiti.
Sehubungan itu, pemberian anugerah ini adalah pengiktirafan tertinggi khusus untuk para akademia yang sedang atau pernah berkhidmat di UTeM berdasarkan sumbangan mereka merangkumi pelbagai aspek kecemerlangan, termasuk pengajaran, penyelidikan, penulisan, dan inovasi.
Majlis AAU telah menjadi satu tradisi sejak tahun 2009 dan telah menjadi dorongan penting kepada staf akademik untuk terus meningkatkan pencapaian dan sumbangan mereka dalam dunia akademik. Untuk tahun ini sebanyak 13 kategori anugerah telah disediakan, dimana pemilihan pemenang adalah berdasarkan kepada penilaian yang telah dibuat oleh panel jawatankuasa penilai AAU yang dilantik.
Penerima utama bagi setiap kategori akan menerima sebuah tropi, sijil penghargaan dan wang bernilai RM4,000. Manakala bagi penerima saguhati akan menerima sijil penghargaan dan wang bernilai RM500. Setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua penerima Anugerah Akademik Universiti bagi tahun 2022. Sekalung penghargaan dan terima kasih juga kepada semua jawatankuasa yang telah memberikan komitmen yang tinggi di dalam proses pemilihan penerima anugerah bagi tahun 2022.
Jutaan penghargaan dan terima kasih di atas kelapangan masa Yang Berhormat Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, serta Dif-Dif Kehormat yang turut hadir bersama di majlis ini. Sekalung penghargaan dan terima kasih juga kepada Jawatankuasa program yang komited dalam memastikan majlis ini dapat dilaksanakan mengikut perancangan.
Petikan dari: Facebook Pejabat Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa - UTeM